- Susulan kenyataan media YB Menteri Kewangan, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Lembaga Tabung Haji (TH) bertarikh 18 Julai 2021, Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa pengawalseliaan TH di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu solusi interim yang tidak akan mengubah sifat asal TH sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima. TH tetap kekal melaksanakan fungsi Lembaga Tabung Haji sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].
-
Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama). Dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya
tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan
operasi haji.
-
Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa
usaha kawalselia TH dari sudut pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan
oleh BNM ini adalah satu solusi interim yang akan dilaksanakan sehingga dapatan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
dibentangkan untuk pertimbangan Kerajaan selanjutnya.
-
Memandangkan TH menerima deposit daripada bakal jemaah haji dan orang ramai, dan
Kerajaan tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta 535,
maka amat wajar simpanan pendeposit ini dikawal selia dengan lebih baik untuk memastikan
bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan Rukun Islam kelima, dan TH dapat terus menjana
pendapatan dari pelaburan yang patuh Syariah.
Penambahbaikan kawalselia TH adalah selaras dengan hasrat Kerajaan supaya TH kembali
kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk
tujuan menunaikan haji, di samping simpanan untuk pelaburan.
-
TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan
Malaysia, berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion
dan salinghubung yang rapat dengan sistem kewangan, terutamanya
sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).
Penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep Syariah akan
memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa
Kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan Kerajaan.
-
Sebagai sebuah institusi yang berkait rapat dengan sistem kewangan negara (dan tentunya
mempunyai kepentingan sistemik), Kerajaan perlu memastikan agar kedudukan kewangan TH terus
diperbaiki dan diperkukuh. Sehubungan itu,
deposit mencecah RM82 bilion tersebut (10% daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam
negara) perlu ditadbir dengan baik
berteraskan konsep semak dan imbang, kerana sebahagian daripada deposit yang diterima ini
diletakkan di institusi perbankan Islam.
Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi
perbankan Islam dan pergolakan ke atas sistem kewangan Islam Malaysia.
-
Kementerian Kewangan juga sedia maklum akan perbezaan mandat dan peranan TH berbanding
institusi perbankan yang lain. Justeru,
Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini,
sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit, serta
pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza dari
peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.
BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah1 yang dianggotai oleh para cendekiawan
Syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat
antarabangsa. Dengan memanfaatkan kepakaran majlis ini,
persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik dari pelbagai pelaburan
untuk manfaat pendeposit, tidak akan timbul sama sekali.
Kesemua usaha ini adalah bertujuan untuk terus melindungi hak-hak pendeposit dan memastikan
segala pelaburan yang dibuat oleh TH adalah berlandaskan prinsip Syariah.
- Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan menyentuh hak rakyat adalah penting di atas prinsip semak dan imbang, serta tadbir urus yang berhemah, selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah. Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah digunapakai secara meluas di Malaysia. Contohnya, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) yang mempunyai akta tubuh masing-masing2 , serta anak syarikat TH sendiri iaitu Bank Islam, yang kesemuanya masih di bawah kawal selia BNM berdasarkan kepentingan sistemik mereka. Solusi interim ini adalah penting untuk melindungi hak dan kepentingan pendeposit sepenuhnya sementara menunggu dapatan RCI dibentangkan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
22 Julai 2021
1 https://www.bnm.gov.my/shariah-advisory-council
2 Akta Bank Simpanan Nasional 1974 [Akta 146]; Akta Bank Kerjasama Rakyat
Malaysia (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202